Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepen­tingan Mass Rapid Transit Corpration Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Najmuddin Abdullah berkata, dua Mesin Pengorek Terowong (TBM) akan bersiap sedia untuk dilancarkan di beberapa lokasi bawah tanah jajaran berkenaan.

Menurutnya, sebanyak empat buat TBM telah diperoleh pihak­nya sebagai tambahan kepada lapan buah mesin sedia ada yang digunakan semasa projek MRT laluan Sungai Buloh - Kajang (SBK).

“Bagaimanapun dua TBM itu dijangka sampai ke tanah air pada Disember ini manakala dua lagi akan ditentukan sebaik mesin yang dibeli lulus ujian penerimaan kilang (FAT).

“Penambahan TBM ini dilihat perlu kerana bukan sahaja melibatkan jajaran laluan bawah tanah lebih panjang berbanding jajaran bawah tanah bagi MRT SBK malah tahap kuasa mesin ini adalah lebih baik berbanding mesin sebelum ini.

“Perolehan mesin ini juga bertujuan untuk memastikan kerja-kerja mengorek terowong dapat dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya selepas me­ninjau proses ujian penerimaan kilang (FAT) bagi dua buah TBM di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Terowong MRT Corp. Blaise Mark Pearce; Pengarah Terowong MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. (MGKT), Gusztav Klados dan Pengurus Besar Terowong MGKT, Ng Hau Wei.

Dalam pada itu, Najmuddin berkata, MRT Corp menganggarkan sebanyak RM3.2 bilion diperuntukkan bagi pembelian empat unit mesin TBM tersebut.

“Setiap unit mesin itu bernilai antara RM40 juta hingga RM60 juta berdasarkan kepada spesifikasi dan saiz mesin berkenaan.

“Namun begitu, kuasa bagi empat buah TBM yang dibeli ini adalah lebih baik dan berbeza dengan mesin yang digunakan sebelum ini,” jelasnya.

MRT laluan SSP ini merupakan projek mega infrarakyat dengan peruntukan kos sebanyak RM32 bilion mempunyai jajaran sepanjang 52.2 kilometer meliputi 37 buah stesen dan 11 daripadanya adalah stesen bawah tanah dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022. –UTUSAN