Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Dr. Zulhasnan Rafique berkata, beliau percaya ‘badai’ tersebut mampu ditempuh dengan baik jika semua pihak saling bekerjasama dan bantu-membantu antara sama lain berlandaskan semangat Negaraku Sehati Sejiwa.

“Dalam beberapa minggu mendatang, kita semua perlu bekerja lebih keras terutama­nya para perwakilan dalam memastikan semua program dan aktiviti yang telah diatur mencapai kejayaan.

“Ini termasuk memastikan lawatan Perdana Menteri dan pertemuan dengan Presiden Donald Trump berjaya. Saya meletakkan sepenuh harapan kepada anda semua dalam mencapai matlamat ini,” katanya ketika berucap dalam sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Rumah Malaysia, Washington, AS hari ini.

Seramai 163 rakyat Malaysia terdiri daripada kakitangan kedutaan dan pelajar yang menetap di sekitar Washington menghadiri majlis itu.

Mengulas lanjut, Zulhasnan turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja keras da­lam memastikan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan AS terus terpelihara.

Dalam pada itu, beliau turut menerangkan kepada hadirin tentang program Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang kini sedang giat mengumpul maklumat bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara berjaya pada masa hadapan.

“Berbanding dengan pelan pembangunan nasional sebelum ini yang menggunakan pendekatan atas ke bawah, TN50 didasarkan daripada aspirasi rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.