Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penubuhan mahkamah itu akan dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata, penubuhan mahkamah khas rasuah itu nanti tidak akan menjejaskan fungsi mahkamah biasa.

“Ini cadangan baharu kerana kita perlu menentukan kes-kes rasuah diberi masa oleh mahkamah khusus yang tertumpu semata-mata kepada kes rasuah.

“Ia memerlukan undang-undang kerana ia akan mengubah ciri-ciri asas mahkamah, jadi perlu ada kesungguhan untuk melawan rasuah.

“Kerajaan dalam proses akhir penilaian cadangan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali ke-7 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, penubuhan itu juga berikutan perbicaraan kes rasuah dianggap perbicaraan biasa tanpa diberi sebarang keutamaan.

“Ini perkara serius kerana rakyat bertanya mana hukuman terhadap jenayah yang dilakukan individu tertentu. Jadi kita mahu mahkamah yang boleh mengadakan perbicaraan secepat yang mungkin,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, proses bagi pelantikan hakim bagi mahkamah ini adalah proses sama iaitu dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan kuasa pendakwaan oleh Peguam Negara.

Dalam pada itu, ditanya sama ada aktiviti rasuah bagi melindungi pusat urut berlaku di seluruh negara susulan penahanan beberapa individu termasuk penjawat awam di ibu negara semalam, Dr. Mahathir berkata, kerajaan menyedari perkara seumpama itu boleh berlaku. - UTUSAN ONLINE