Malah ketika ramai rakyat negeri ini yang terjejas dengan banjir besar awal bulan ini, ahli politik terutamanya daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang harus turun padang sama-sama mencari jalan membantu rakyat, bukannya menggagalkan bantuan yang disalurkan Kerajaan Pusat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau sendiri telah dua kali datang ke negeri ini dalam tempoh seminggu bagi menyalurkan bantuan kepada pesawah serta nelayan dan pengusaha ikan sangkar yang terjejas teruk.

Jelasnya, bantuan yang disalurkan harus ikhlas dan semua pihak perlu mencari jalan terbaik meredakan keresahan rakyat yang menjadi mangsa termasuk pengusaha ikan yang kerugian puluhan juta ringgit.

“Ahli politik pembangkang menjadikan politik sebagai satu perlawanan untuk melihat siapa menang siapa kalah seperti permainan bola sepak namun bagi kerajaan, ini adalah platform membantu rakyat yang dilanda kesusahan.

“Itulah sebabnya dalam seminggu dua kali saya datang ke Pulau Pinang untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mereka yang terjejas teruk akibat banjir dan air pasang seperti yang dialami oleh pengusaha ikan sangkar di kawasan Pulau Aman ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada nelayan dan penduduk Pulau Aman, di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad Shabery meninjau beberapa sangkar ikan yang musnah dilanda ribut dan air pasang bersama Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Mohd. Noor Ahmad.

Tambahnya, wakil rakyat DAP sepatutnya turun padang melihat sendiri kemusnahan yang dialami oleh pengusaha ikan sangkar ini dan sama-sama membantu kerajaan untuk membangunkan mereka kembali.

Menurut beliau, usaha kerajaan membantu mereka sukar dilaksanakan sekiranya hanya satu pihak yang bertindak manakala satu pihak lagi mencuba sedaya-upaya menggagalkannya. - UTUSAN ONLINE