Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setiap keluarga menerima wang tunai sebanyak RM500 yang akan meringankan bebanan perbelanjaan terutama untuk menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Penerima adalah ketua keluarga yang dipindahkan di lapan pusat pemindahan sementara di beberapa kawasan di Pasir Puteh pada musim banjir tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang berkenaan di Pejabat APM di sini, hari ini.

Yang turur hadir, Timbalan Pengarah APM Kelantan, Hasni Ghazali dan Pengerusi Yayasan Fatimah Az-zahara, Azmi Mohd. Nor.

Asyraf Wajdi berkata, bantuan seperti itu tidak mungkin diberikan jika benar keadaan ekonomi negara diambang muflis sebagaimana dakwaan parti pembangkang.

“Kejadian yang berlaku di beberapa negara Islam Timur Tengah yang rakyatnya hidup dalam ketakutan dan kebuluran sepatutnya dijadikan ikhtibar kepada rakyat di negara ini untuk terus perpadu mengukuhkan keharmonian dan kestabilan negara.

“Kerajaan sentiasa meneliti keperluan rakyat dengan menunaikan tanggungjawab berasaskan keperluan dan kebajikan yang diperlukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE