Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembinaan SJKC masing-masing lima di Johor dan Selangor itu dilaksanakan di kawasan yang mempunyai penduduk kaum Cina yang ramai.

Beliau berkata, pembangunan sekolah termasuk SJKC adalah bagi memenuhi keperluan pendidikan anak-anak selaras dengan keperluan sosial dan ekonomi serta akses kepada pendidikan untuk semua.

“Selain membina sekolah baharu, kementerian juga mempertimbangkan permohonan permindahan enam sekolah ke lokasi baharu bagi mengatasi pelbagai isu-isu pendidikan. 

“Antara isunya ialah sekolah mempunyai enrolmen yang semakin berkurangan disebabkan migrasi penduduk, sekolah tidak selamat diduduki, pengambilan tanah oleh pemilik serta sekolah yang padat,” katanya ketika berucap mengumumkan pembinaan SJKC baharu di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon.

Menurut Mahdzir, ketika ini terdapat sebanyak 1,298 SJKC di seluruh negara di mana 883 daripadanya berstatus sekolah bantuan kerajaan. - UTUSAN ONLINE