Video oleh HAKIMI ISMAIL

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pembinaan SJKC masing-masing lima di Johor dan Selangor itu dilaksanakan di kawasan yang mempunyai penduduk kaum Cina yang ramai.

Menurutnya, pembangunan sekolah termasuk SJKC bertujuan memenuhi keperluan pendidikan anak-anak selaras dengan keper­luan sosial dan ekonomi serta akses kepada pendidikan untuk semua.

“Selain membina sekolah baharu, kementerian juga mempertimbangkan permohonan pemindahan enam buah sekolah SJKC ke lokasi baharu bagi mengatasi pelbagai isu pendidikan yang dihadapi.

“Namun, perpindahan perlu mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan oleh kementerian termasuk persetujuan ibu bapa dan hal berkaitan urusan perpindahan sekolah,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pe­ngumuman Pembangunan 10 SJKC baharu di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad.

Menurut Mahdzir, kementeriannya berpandangan, pembangunan 10 buah sekolah SJKC baharu itu perlu berdasarkan keutamaan dan keperluan projek, serta kebolehupayaan ekonomi dan kewangan negara.

“Ketika ini terdapat 1,298 SJKC di seluruh negara dengan 883 da­ripadanya berstatus sekolah bantuan kerajaan. Daripada jumlah itu, sebanyak 454 adalah sekolah kurang murid (SKM) yang mempunyai enrolmen 150 murid atau kurang (data pada 31 Ogos lalu).

“Pembangunan sekolah akan dapat merungkai isu, permasalah dan mengesan kekurangan serta keperluan pendidikan sesebuah kawasan bagi memenuhi permintaan masyarakat. Kemudahan pendidikan yang disediakan perlulah berkualiti dan digunakan secara optimum dan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang prihatin dengan permintaan parti komponen bagi penambahan SJKC baharu khususnya di kawasan penduduk berkepadatan tinggi.

“Kita sudah mohon penambahan ini sejak tahun lalu dan akhirnya kerajaan meluluskannya. Kelulusan yang diberikan ini mampu mengurangkan kesesakan murid di sekolah tertentu dan memberi berita gembira kepada masyarakat Cina.

“Pembinaan SJKC ini akan dilakukan secepat mungkin, namun secara berperingkat dan kami juga berharap kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri dalam mempercepatkan urusan berkaitan kelulusan pembinaan dan tanah,” katanya.