Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebalik­nya beliau amat berpuas hati dengan keputusan kali ini terutama selepas melihat pencapaian gred purata nasional (GPN) keseluruhan yang meningkat jauh lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Peningkatan GPN daripada 5.15 pada 2015 kepada 5.10 tahun ini jelas menunjukkan ­betapa pr­­e­s­­­tasi keseluruhan pelajar kita meningkat. Dengan 25 peratus daripada soalan diketengahkan bercirikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), keputusan ini adalah sesuatu yang baik untuk kita.

“Saya akui, jumlah pelajar mendapat semua A juga sememangnya menjadi perkara yang dinilai dalam sesuatu peperiksaan, namun penurunan ini bukan sesuatu yang dibimbangkan. Selepas ini, kami akan melakukan analisis bagi melihat di mana sebenarnya kelemahan para pelajar terutama dalam menjawab soalan KBAT,” katanya.


Video oleh SITI SARIMAH SHAIK ABD. RAHMAN

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan slip keputusan SPM kepada pelajar-pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Rotan di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Bahagian Operasi Pendidikan, Datuk Ahmad Tajuddin Jab dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Rozaini Ahmad.

Keputusan SPM 2016 menunjukkan jumlah calon memperoleh semua subjek A+ adalah 102 orang berbanding 163 pada 2015 manakalan yang mendapat semua subjek A+, A, A- sebanyak 8,647 calon berbanding 9,721, tahun sebelumnya.

Sementara itu, dalam majlis berasingan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keat Hwa di sini, Mahdzir memberitahu, Kementerian Pendidikan sent­i­a­sa menjalin kerjasama erat de­ngan beberapa kementerian serta jabatan lain bagi menangani beberapa isu termasuk penyakit se­lesema burung (H5N1) di Kelantan dan fenomena cuaca panas yang dialami pada masa kini.

“Untuk H5N1, kami sentiasa mendapatkan nasihat dan laporan daripada Kementerian Kesihatan mengenai apa yang perlu dilakukan. Kalau mereka kata bencana itu terlalu serius dan sesebuah sekolah perlu ditutup, kami akan lakukan.

“Begitu juga dengan cuaca panas yang melanda negara ketika ini. Kami akan mengkaji laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan peruntukan khas berjumlah RM4.1 juta kepada 74 SJKC di Kedah dan Perlis.