Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi mencapai hasrat itu, rakyat perlu mengetepikan perbezaan yang wujud antara satu sama lain dan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan mereka.

“Apabila kita merdeka dulu, orang kata Malaysia atau Malaya ketika itu tidak mungkin dapat meneruskan kelangsungan sebagai sebuah negara dan diperlekehkan kerana kepelbagaian (kaum) yang kompleks di negara ini.

Video oleh ABD RAZAK. AID

“(Bagaimanapun) dengan keadaan itu, kita mampu me­langkah jauh kerana kita berjaya ketepikan perbezaan antara kita. Kita tidak iktiraf ini sebagai permasalahan sebaliknya tumpukan kepada perkara yang memupuk perpaduan dan keharmonian.

“Ini adalah rahsia kekuatan kepada masa depan negara. Saya yakin kalau kita letakkan ke­pen­tingan nasional mengatasi kepen­tingan mana-mana kelompok kecil, kita boleh membawa Malaysia jauh ke depan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Wisma Ceylonese di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Kesihatan yang juga Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon dan Presiden Persatuan Ceylonese Negeri Sembilan, Datuk S. Kumarasamy.

Bangunan tiga tingkat milik Persatuan Ceylonese Negeri Sembilan itu dibina dengan kos RM3.3 juta.

Menurut Najib, maklum balas yang diterima daripada golongan muda menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dilancarkan baru-baru ini turut mendapati kebanyakan mereka berharap untuk hidup di dalam negara yang harmoni dan saling hormat-menghormati.

“Kalau kita letakkan rasa cinta dan kasihkan negara, maka tidak kira latar belakang etnik, agama dan budaya, kita adalah rakyat Malaysia sebenar,” katanya.

Beliau berkata, tanpa kestabilan dan keamanan, sesebuah negara tidak dapat membawa pembangunan untuk kemudahan rakyat.

Ujarnya, beliau juga mahu mendengar pandangan semua pihak berhubung TN50 supaya kerajaan boleh membentuk wawasan yang dikongsi oleh semua rakyat.

“Sebagai Perdana Menteri saya perlu dengar dan mampu untuk terjemah pandangan tersebut bagi membawa negara ke destinasi yang diharapkan,” katanya.