Tinjaun Utusan Online mendapati, kemudahan di laluan Kajang yang mula beroperasi pada 17 Julai lalu dicemari dengan insiden yang memalukan itu apabila tempat duduk dicalarkan dan kemudahan tandas turut dirosakkan.

Lebih tragik, turut kelihatan batang penyapu dan lampu menjadi tatapan di atas bumbung berdekatan pintu keluar Bukit Bintang seperti seakan-akan menjadi pameran di kemudahan kelas pertama itu.

Malah, kegiatan vandalisme itu turut membuatkan pihak MRT meletakkan papan tanda “Jangan Memanjat” dan “Jangan Bersandar” di lokasi-lokasi utama karya seni yang ditonjolkan sepanjang laluan bawah tanah perkhidmatan itu.

Tandas-tandas yang mengalami kerosakan terpaksa ditutup memandangkan kemudahan itu tidak dapat digunakkan buat sementara ini.

FARIZ RAZALI
FARIZ RAZALI

Pengguna, Fariz Razali, 26, berkata, walaupun kerajaan menghabiskan berbilion-bilion ringgit untuk memberi kemudahan kepada rakyat, tetapi masih ada tidak tahu menghargainya.

“Inilah sikap segelintir mas­ya­rakat yang tidak menghargai kemudahan yang disediakan, sebaliknya dirosakkan begitu sahaja, bukan sahaja merugikan kerajaan yang perlu berbelanja besar untuk kerja-kerja membaik pulih tetapi juga merugikan diri sendiri.” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Dia yang juga Ahli Parlimen Belia turut mencadangkan, agar pihak pengurusan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dengan sebaik­nya bagi mengenal pas­ti pengguna yang tidak bertanggungjawab dan kenakan tindakan yang sewajarnya kerana pe­ngangkutan awam adalah hak milik semua orang.

SUHANA HASSIM
SUHANA HASSIM

Sementara itu, Suhana Hassim, 25, berkata, masyarakat di negara maju sangat menghargai ke­mudahan awam kerana ia merupakan pengang­kutan uta­ma mereka,

Justeru katanya, perlulah ada satu perubahan sikap dan mentaliti yang diperlukan da­lam diri rakyat Malaysia bagi menjamin masa depan pengangkutan awam, jika tidak selagi itulah Malaysia tidak akan ke mana-mana.

“Sampai bila kita ingin bersikap begini, perubahan mentaliti kita sangat penting bagi menghargai setiap kemudahan yang diberikan kepda kita,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Stra­te­gik dan Hubungan Pihak Ber­ke­­pentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah ketika dihubungi berkata, tindakan segera akan diambil bagi membaiki kerosakan demi keselesaan penumpang.

“Setakat ini, kira-kira RM10,000 digunakan bagi menampung kos pembaikan kerosakan akibat vandalisme pada lima hari pertama MRT-SBK beroperasi.

“Kemudahan MRT ini bertaraf dunia dan tanpa kesedaran sivik yang tinggi atau tidak bertanggungjawab hanya akan merugikan kita semua,” katanya.-UTUSAN ONLINE