Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menjelaskan, kempen tersebut mampu melahirkan lebih ramai pelajar yang menjadikan bahan berunsur ilmiah sebagai rujukan.

“Bahan bacaan yang diterbitkan dalam majalah tersebut sesuai untuk bacaan pelbagai pihak termasuk pelajar sama ada sekolah rendah atau menengah.

“Kini pelajar lebih berminat untuk membaca bahan yang kurang berfaedah, antaranya komik dan majalah-majalah yang tidak memberikan manfaat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Yang turut hadir Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah; Pengarang Kanan Unit Majalah Umum Utusan Karya, Zulkarnain Zakaria dan Penolong Pengarang Al Islam, Norimanah Seman.

Jelas Asyraf Wajdi, beliau berharap lebih ramai masyarakat akan menyertai program wakaf tersebut terutama apabila ia menawarkan harga yang rendah iaitu hanya RM66 bagi tempoh setahun.

“Wakaf ini luas, ada orang ingat hanya melibatkan tanah sahaja tetapi pandangan itu silap kerana kita diberi pilihan untuk me­nyumbang dalam pelbagai aspek.

“Walaupun ia sekadar senaskhah majalah, namun dapat memberikan pelbagai manfaat kepada pembaca,” katanya.

Asyraf Wajidi menjadi individu pertama yang menyertai kempen wakaf Ilmu Al Islam apabila memberi sumbangan untuk langganan setahun bagi sekolah-sekolah di Parlimen Pasir Puteh, Kelantan.