Restoran yang berlokasi di Jalan Manggala, Matang itu menyajikan lebih 20 hidangan laut segar dan ia beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 11 malam pada setiap hari kecuali Isnin.

Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Mohd. Sallehhuddin Hassan berkata, pembukaan restoran yang dibuka dengan menggunakan duit persatuan itu mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga ke hari ini.

“Tambahan pula Kuala Sepetang cukup popular dengan kehadiran para pelancong dari pelbagai tempat kerana kesan sejarahnya dan ia amat membantu para nelayan tempatan menjana ekonomi diri secara tidak langsung.

“Untuk perancangan pada masa hadapan, persatuan nelayan di sini dijangka akan mengusahakan bilik penginapan atau hotel pula sebagai pendapatan tambahan untuk memastikan sumber rezeki itu tidak putus,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd. Sallehhuddin berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Bangunan serta Restoren Nelayan PNK Matang, Perak.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jamaludin Othman serta Pengerusi PNK Matang, Beh Swee Koon.

Mengulas tentang pembukaan restoran itu, Jamaludin memberitahu, pelanggan sebenarnya bukan sahaja menikmati sajian yang menyelerakan malah dapat membantu para nelayan bersikap lebih berdaya saing.

“Usaha yang ditunjukkan oleh PNK Matang ini dengan cara membuka restoran wajar dicontohi oleh persatuan nelayan lain kerana melaluinya, tangkapan hasil laut yang diperolehi akan memberikan nilai tinggi yang tersendiri.

“Misalnya, ikan yang dinaikkan ke darat tidak lagi sekadar dijual begitu sahaja dengan harga yang rendah tetapi ia mampu memberikan pulangan yang berlipat kali ganda kepada nelayan tersebut dengan cara menyerahkannya kepada pihak restoran,” katanya.

Sementara itu, Swee Koon berkata, seramai 2,000 nelayan telah berdaftar sebagai ahli di bawah PNK Matang dan pelbagai aktiviti serta perniagaan telah dijalankan secara bersama.

“Saya mewakili persatuan berasa amat gembira dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis perasmian hari ini sekali gus membuktikan nasib nelayan terus terbela,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Video oleh LOKMAN HAKIEM ABD. SAMAD