Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara isu yang mampu menjejaskan kemenjadian murid termasuk isu kesesakan pelajar di sekolah, oleh kerana jumlah pelajar yang terlalu ramai akan mengganggu keselesaan proses pengajaran dan pembelajaran.

Mengambil contoh di daerah Hulu Langat, khususnya di kawasan Bandar Bukit Mahkota yang hanya mempunyai sebuah sekolah menengah yang terpaksa menampung seramai 3,000 pelajar bagi dua sesi persekolahan, kesesakan ini sedikit sebanyak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, dan keselesaan warga sekolah.

"Oleh itu, bagi kawasan ini kita cadangkan perlu dibina sebuah sekolah menengah baharu, di bawah rolling plan keempat bagi Rancangan Malaysia ke-11," kata Mahdzir yang menambah, sekolah ini akan dinamakan SMK Bandar Bukit Mahkota.

Beliau berkata demikian sejurus selesai melakukan tinjauan kerja di SK Bandar Seri Putra dan SMK Bandar Seri Putra, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.

"Saya amat yakin pembinaan sekolah menengah baharu ini akan mengurangkan kesesakan di sekolah sedia ada," kata Mahdzir.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan pembinaan sebuah sekolah rendah baharu yang akan dinamakan SK Pelangi Semenyih.

Beliau menambah, sekolah yang akan dibina dengan kos sebanyak RM31.2 juta itu akan mempunyai sebanyak 24 bilik darjah.

Dalam majlis sama, Mahdzir turut menyerahkan bantuan peruntukan penyelenggaraan berjumlah RM1.26 juta kepada SMK Bandar Seri Putra, SK Bandar Seri Putra dan SK Bangi. - UTUSAN ONLINE