Pasangan kembar seiras, Pu­teri Qistina Damia dan Puteri Qistina Najwa Mohd. Hairi, 7, menjadi tumpuan ramai memandangkan turut ditempatkan dalam kelas yang sama.

Puteri Qistina Najwa yang lebih petah bercerita berkata, dia begitu gembira dan teruja untuk memulakan sesi persekolahan bersama-sama kakak kembarnya itu.

“Saya dengan kakak bangun seawal pukul 6 pagi kerana tidak sabar untuk ke sekolah hari ini.

“Seronok sangat dapat pergi sekolah sebab dapat kenal ramai kawan baru dan cikgu baru,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Guru Besar SK BBU 2, Zulkifly Ahmad berkata, pada tahun ini pihaknya me­nerima seramai 195 murid tahun satu.

Katanya, kesemua murid tahun satu ditempatkan di kantin dalam tempoh seminggu sebagai orentasi sebelum masuk ke kelas masing-masing.

“Alhamdulillah, ini adalah kali terakhir saya menerima pelajar tahun satu kerana selepas ini saya akan bersara.

“Saya berharap semua pelajar dapat mengikuti sesi pem­belajaran dan belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementera itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Perling di sini, meskipun menghadapi masalah tulang rapuh, Ariq Arif Danial Razali, 7, tetap bersema­ngat memulakan sesi baru persekolahannya.

Ibunya, Sanisah Dollah, 36, berkata, anaknya begitu teruja untuk memasuki tahun satu persekolahan dan mula mengejutnya seawal pukul 6 pagi untuk ke sekolah.



Katanya, walaupun fizikal anaknya kecil dengan ketinggian 80 sentimeter dan berat sembilan kilogram, namun tahap pemikirannya seperti kanak-kanak normal yang lain.

“Ariq ini kalau tidak kenal orang memang tak mahu bercakap, tapi sebenarnya dia kanak-kanak periang.

“Walaupun dia ada tulang rapuh dan hanya mengesot untuk bergerak, dia mempunyai daya pemikiran normal dan boleh mengenal huruf, belajar, bercakap dan mempunyai keistimewaan mewarna,” katanya.

Sementara itu, seorang murid, Raden Mohd. Aiman Firdaus Zailan, 7, yang cacat pendengaran gembira dapat mendengar semula selepas menjalani rawatan menanam implan pada November lalu.

Ibunya, Nur Azizah Mohammad, 46, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu dilahirkan tanpa cuping telinga tetapi boleh menguruskan diri sendiri.

“Alhamdulillah selepas tanam implan dan belajar di pendidikan khas ini, saya berharap dia boleh belajar dengan selesa serta didedahkan dengan dunia luar,” katanya.

Seramai tiga murid orang kurang upaya (OKU) tahun satu memulakan persekolahan sesi 2018 daripada jumlah keseluruhan 146 murid tahun satu di SK Taman Perling.