Adik kepada Adam, Hawa Jaafar, 53, berkata, abangnya mengamuk bukan disebabkan mahu menuntut bela di atas kematian adik mereka yang didakwa meninggal dunia selepas dipukul dengan kayu golf oleh Sultan Johor ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar.

Malah, dia mengakui cerita yang dijaja oleh masyarakat me­ngenai insiden itu adalah karut serta tidak benar sama sekali.

Katanya, dia dan ahli keluarga lain termasuk kedua-dua ibu bapa mereka yang kini telah meninggal dunia juga pernah menghadiri perbicaraan mengenai kes tersebut dan mahkamah tidak pernah menyentuh mengenai insiden pembunuhan itu.

Ujar Hawa, mahkamah ketika itu hanya membicarakan mengenai insiden amukan di Chow Kit yang dipercayai berpunca daripada tekanan akibat dibuli dan didera semasa berada dalam kem tentera sahaja.

‘‘Adik saya tidak ada yang mati dibunuh. Jika ada yang meninggal dunia pun disebabkan kebakaran yang berlaku pada tahun 1975 (adik perempuan yang ketika itu berusia tujuh tahun).

‘‘Jadi, hentikanlah memfitnah kami sekeluarga. Saya juga ingin meminta maaf kepada Tengku Mahkota Johor (Tengku Ismail Sultan Ibrahim) sekeluarga kerana disebabkan abang saya, mereka turut difitnah dalam hal ini,’’ katanya kepada pemberita di rumahnya di Sungai Ara, Bayan Lepas, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hawa yang juga anak kedua daripada sembilan beradik memberitahu, dia serta adik beradiknya yang lain kesal dengan fitnah serta tohmahan yang dilemparkan terhadap keluarga mereka hingga ke hari ini dan berharap kes itu dibuka semula demi keadilan untuk abangnya.

‘‘Ada seorang hamba Allah ini pernah bertanya, mengapa sekarang (ketika hampir dengan pilihan raya) baru nak bangkitkan perkara ini?

‘‘Sebenarnya bukan sekali, malah beberapa kali saya cuba perjelaskan isu ini agar masyarakat tidak tersalah anggap kepada keluarga kami. Namun, setiap kali saya buka mulut, ada yang kata saya telah dibayar untuk bercakap,’’ katanya.

Ditanya mengenai perkem­ba­ngan terkini Adam sekarang, Hawa berkata, abangnya itu sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun selepas terjebak de­ngan dadah akibat tertekan de­ngan kehidupan.

‘‘Saya tak mahu beritahu abang ada di mana sekarang. Tapi, itulah. Nanti semua orang akan tanya. Sembunyikan abang kat mana? Mengapa abang tak tampil ke depan?’’ katanya.

Malah, Hawa turut mengakui kehidupan Adam sebenarnya telah musnah sejak ditahan selama tiga tahun selepas insiden amuk itu berlaku sebelum dimasukkan ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan selama 10 tahun.