Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, penerbangan antarabangsa itu yang disediakan oleh Malindo Air membolehkan pelancong yang bercuti di Thailand menyambung percutian mereka di sini.

Beliau berkata, pelancong yang datang ke negeri ini bukan semata-mata kerana ia lokasi transit atau persinggahan kerana mereka sebenarnya berpeluang menikmati keunikan budaya, makanan dan keindahan alam sekitar.

"Kita yakin Kelantan sebenarnya bukan lagi sekadar transit untuk pelancong luar kerana mempunyai pelbagai tarikan tersendiri terutama keramahan penduduk.

"Ada yang tinggal seminggu malah ada yang tinggal tiga bulan, contohnya semasa Pesta Wau Antarabangsa di Geting, Tumpat baru-baru ini pelancong datang dari 18 buah negara dan telah meluangkan masa yang lama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyambut ketibaan pelancong menerusi penerbangan sulung Malindo Air dari Surat Thani ke Kota Bharu di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) LTSIP, Abdul Halim Othman dan Pengurus Stesen Malindo Air Kota Bharu, Mohd Nazri Abdullah.

Pesawat ATR 72-600 yang membawa seramai 50 pelancong antarabangsa dari pelbagai negara termasuk Rusia, Argentina, Perancis dan United Kingdom (UK) mendarat kira-kira pukul 2.40 petang tadi.

Malindo Air menyediakan penerbangan pergi balik dari Surat Thani ke Kota Bharu dan Kota Bharu ke Surat Thani dua hari seminggu iaitu pada Isnin dan Selasa.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, penerbangan dari Surat Thani itu adalah penerbangan antarabangsa tunggal setakat ini yang diterima di LTSIP selepas tamatnya operasi penerbangan dari Singapura beberapa tahun lalu.

"LTSIP menguruskan kira-kira 40 penerbangan yang tiba dan berlepas setiap hari dengan hampir 2,000 penumpang pada hari biasa dan jumlah ini meningkat kepada hampir 60 penerbangan dan 3,000 penumpang pada waktu puncak, kira-kira 10 peratus penumpang adalah pelancong luar negara" katanya. - UTUSAN ONLINE