Warga emas tersebut, Afidzul Ariffin menerusi catatan Facebook miliknya memberitahu, dia memulakan kayuhan dengan menunggang basikal tua kira-kira pukul 4 pagi, semalam.

“Jam menunjukkan pukul 4 pagi. Saya memulakan perjalanan menuju ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur. Ya Allah permudahkanlah perjalananku dan kuatkan semangatku hingga tiba ditempat yg dituju.

“Jauhkan aku dari malapetaka yang tak diingini dengan bantuan perlindunganMu Ya Allah. Demi agamaMu dan demi umat Nabi Muhammad SAW, aku memohon Kau lindungilah semua umat yang menuju destinasi sama demi mempertahankan agamaMu,” katanya dalam catatan Facebook miliknya yang dimuat naik, semalam.

Afidzul yang lebih dikenali Pak Long turut memuat naik setiap perjalanannya sehingga pernah ditahan oleh anggota polis di Bidor, Perak.

“Dalam perjalanan tadi saya kibarkan bendera tauhid. Terasa macam zaman Nabi Muhammad SAW pula. Setelah melepasi bandar Bidor tiba-tiba sebuah kereta peronda polis menghampiri dan menahan saya. Dia (anggota polis) ambil IC (kad pengenalan) saya, kemudian diberitahu bahawa bendera tersebut tak boleh dikibarkan.

“Saya tanya kenapa tak boleh? Dia kata seperti bendera ISIS. Saya cakap tak sama sebab tulisan berbeza dan ini bendera panji-panji Tauhid Rasulullah SAW. Kemudian baru dia kata sebenarnya takut ada pihak menyalah anggap kerana warna hitam tu dan sekarang musim panas,” ujarnya.

Menerusi catatan terbaharu akaun Facebook warga emas itu, dia sudah berada di sekitar Dataran Merdeka dan mengucapkan syukur kerana berjaya sampai destinasi dengan selamat. - UTUSAN ONLINE