Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, momentum positif yang bermula di sini perlu terus dijana dan diperteguhkan melalui penganjuran lebih banyak program seum­pamanya pada masa akan datang.

Katanya, program selama tiga hari itu secara tidak langsung telah menyediakan platform buat usahawan wanita dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan ke pasaran lebih luas.

“Konsep Segalanya Wanita yang diketengahkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini merupakan antara pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang paling menambat hati saya setakat ini kerana sejajar aspirasi kerajaan untuk memperkasakan wanita dalam segala aspek.

“Saya puji inisiatif yang dilaksanakan ini kerana penganjuran­nya adalah tepat pada masanya dan telah memperlihatkan pera­nan kerajaan dalam pembangunan usahawan wanita di sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Usa­hawanita 2018 sempena Road To MAHA Zon Timur di Pantai Kuala Kerteh di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suriani Ahmad; Ketua UMNO Bahagian Kemaman merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said dan ADUN Kemasik, Ir. Rosli Othman.

Terdahulu beliau turut me­nyam­paikan cek bantuan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) bernilai RM2.6 juta kepada 198 usahawan wanita negeri ini.

Menurut Rohani, Kementeri­an Pertanian dan Industri Asas Tani merupakan antara kementerian yang paling ke depan dalam menyokong Tahun Memperkasa Wanita, sekali gus menyeru golongan sasar me­rebut peluang yang disediakan itu.

Sementara itu, dalam sidang akhbar, beliau menyokong cada­ngan menjadikan Pantai Kuala Kerteh sebagai tapak kekal buat usahawan wanita dan kemudahan itu diyakini dapat memberi manfaat kepada seluruh kaum Hawa di negara ini.

Katanya, langkah itu sedikit sebanyak dapat membantu negara mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) 59 peratus penglibatan wanita di alam pekerjaan menje­lang 2020 sebagaimana di­sasarkan.

“Usahawan wanita memiliki produk dan servis yang elok tetapi masalahnya adalah tapak untuk mempromosi dan membuat jualan.

“Sebab itu kita di kementerian banyak mewujudkan laman wanita melalui kerjasama dengan pasar raya besar, tapak perniagaan di pu­sat beli-belah di samping memberi kiosk-kiosk kepada mereka, jadi alangkah cantiknya kalau ada tapak kekal kerana kita boleh menganjurkan temasya mengikut tema dan semua wanita boleh datang beramai-ramai ke sini,” katanya.

Rohani turut menasihatkan usa­hawan wanita agar sentiasa menyiapkan diri dengan kemahiran dan teknologi terkini supaya dapat menyesuaikan diri de­ngan arus perkembangan semasa dalam mendepani revolusi industri 4.0.