Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perbincangan itu diadakan bagi mengenal pasti sejauh mana kerosakan yang dialami kapal berkenaan.

Katanya, sehingga kini pihaknya masih belum mengetahui punca sebenar kapal itu sekali lagi senget.

“Memang ada kerosakan berlaku sekali lagi tetapi kita belum mendapat laporan penuh mengenainya. Mesyuarat akan diadakan dengan TLDM petang ini bagi menentukan sejauh mana kerosakan berlaku.

“Mesyuarat ini akan melibatkan kerajaan negeri, TLDM dan pihak yang menjaga kapal itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Akhbar pada Jun tahun lalu melaporkan, KD Rahmat yang dahulunya dimiliki oleh TLDM mengalami insiden serupa apabila senget dan hampir tenggelam.

Berikutan itu, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa dipengerusikan bersama TLDM bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

KD Rahmat diserahkan kepada kerajaan negeri pada 2010 dan dijadikan muzium pada 2011.

Bagaimanapun, operasi muzium berkenaan ditutup pada September 2016 atas faktor keselamatan di jeti yang menghubungkan kapal berkenaan dengan darat.