Namun itulah antara kebolehan yang dimiliki Chloe Soh Ke Er, 10, setelah menjalani pelbagai latihan melalui kelab robotik sekolah yang disertainya dua tahun lalu.

Dia bersama pasukannya, YC Kidz Builder yang dianggotai empat lagi pelajar lain seperti Ng Shan-Zi yang bertindak sebagai ketua, Yeoh Sheng Ze, Lum Mun Chak serta Jayven Lee Cheng Kiat.

Ujar Chloe, mesin robotik yang dihasilkan kumpulannya itu mampu untuk mengenal pasti kesuburan tanah dan sekiranya tanah tersebut didapati tidak subur, semburan nutrient akan dilepaskan.

"Selain itu, Farmerbot juga mampu untuk menggemburkan tanah sebelum menjatuhkan biji benih untuk disemai dan ia mampu memudahkan kerja para petani moden pada masa akan datang.

"Boleh dikatakan mesin robotik yang dibina sejak setahun lalu itu mengalami beberapa evolusi daripada sebuah mesin yang ringkas kepada bentuk yang lebih kompleks," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Ketua pasukannya, Ng Shan-Zi, 12, pula berkata Farmerbot mula dihasilkan menerusi sebuah projek awal yang diberi nama Projek AIR (Robot Pertanian Pintar) dengan tema perubahan iklim dalam sebuah pertandingan yang pernah disertai.

"Perkongsian idea dan kerjasama antara rakan pasukan membolehkan Farmerbot mendapat lebih 10 anugerah di pelbagai peringkat dalam tempoh beberapa tahun ini.

"Bagi saya, mesin robotik ini boleh menjadi alat pertanian yang terpenting pada masa hadapan sekiranya ia direalisasikan untuk kegunaan industri sebenar," katanya.

Selain menghasilkan mesin robotik tersebut, YC Kidz Builder juga telah menghasilkan aplikasi permainan untuk telefon pintar yang berkonsep memberi pengetahuan dalam bidang pertanian dengan cara yang menyeronokkan.

Jurulatih pasukan, Tee Suan Lim berkata, mesin robotik yang dihasilkan para pelajarnya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, Petaling Jaya itu menggabungkan tiga elemen pergerakan seperti atur cara program, penggunaan teknologi maklumat dan informasi serta berfungsi untuk mengumpul data.

"Kegigihan para pelajar untuk tampil bergaya dengan projek tersebut wajar dipuji dan terus diberi sokongan kerana mereka bermula daripada sifir dan belajar untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik," katanya.

Mengulas lanjut tentang pencapaian itu, Guru Besar SJK Yuk Chai, Chew Hock Jin berkata, kesemua pelajar berjaya memperkasa bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang telah diperkenal.

"Bagi saya, STEM mampu menghasilkan generasi yang lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk-produk tempatan dan setelah melihat hasilnya, saya berharap kaedah ini dapat dilaksanakan di semua sekolah pada suatu masa nanti secara menyeluruh demi membangunkan Malaysia dengan lebih gemilang," katanya. - UTUSAN ONLINE