Biarpun masih di peringkat perbincangan namun, kartunis lagenda itu berkata, jika segalanya berjalan lancar, karya yang diterbitkan pada 1979 tersebut bakal di bawa ke layar perak dan diarahkan seorang pengarah filem seni dari Perancis,

Lat yang pernah diiktiraf sebagai Kartunis Sepanjang Zaman berkata, beliau tidak menyangka akan dapat bekerjasama denga pengarah itu memandangkan kartunis berusia 67 tahun itu pernah menonton filem arahannya yang mengisahkan kehidupan kanak-kanak Vietnam pada sekitar tahun 1950-an.

“Ada ramai kawan-kawan ‘orang filem’ yang berminat mengadaptasikan karya saya kepada filem dalam bentuk kehidupan sebenar. Saya kata, cukuplah, saya sudah letih untuk berbuah mengenai Kampung Boy. Tetapi apabila menerima tawaran pengarah dari Eropah yang ingin memfilemkannya, terpaksalah saya berbincang.

“Kalau mereka hendak mengetengahkan kebudayaan kampung, kehidupan Melayu di kampung dan Malaysia, apa salahnya. Lagipun saya sudah tonton filemnya sejak 1990-an lagi ketika di London, United Kingdom,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Video oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Beliau berkata demikian selepas menjadi salah seorang panel forum Bila Kartun Berbicara ‘Kuasa Kartun’ di Muzium Negara hari ini.

Moderator bagi forum yang diadakan bersempena pameran Kartun dan Kita itu adalah kartunis, Ahmad Hilmy Abdullah sementara dua lagi ahli panel terdiri daripada Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr. Muliyadi Mahamood dan pembikin filem animasi, Hassan Abd. Muthalib.

Kampung Boy diterbitkan dalam bentuk buku kartun pada 1979, Yesterday and Today dan Town Boy sebelum diadaptasikan ke dalam bentuk animasi di Hollywood sekitar 1990-an sementara pada 2011, karya ini diolah ke dalam bentuk teater muzikal dan dipentaskan di Istana Budaya.

Dalam pada itu, Lat berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pengarah tersebut petang ini bagi mengadakan perbincangan lebih lanjut mengenai cadangan menerbitkan karya Kampung Boy tersebut.

“Ini perjumpaan buat kali kedua, kami aka berbincang dan melihat kesesuaian. Saya hendak lihat pandangannya dan mendengar siapa pelakon yang bakal menggalas watak dalam filem ini dan lokasi pengambaran. Saya fikir pengambaran akan dilakukan di Perancis, sama seperti filem Vietnam dahulu yang turut menjalani pengambaran di sana,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE