SHARUL OTHMAN
SHARUL OTHMAN

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman,  Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata, jumlah yang dicatatkan ialah 189 kes berbanding 207 kes sebelum ini.

"Kadar kemalangan juga menurun daripada 19,898 pada Op Selamat 11 kepada 19,538 pada operasi kali ini.

"Jumlah paling tinggi kes kemalangan melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal dengan jumlah sebanyak 119 kes," katanya selepas operasi Op Selamat 13 di di Plaza Tol Sungai Besi (arah utara), di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Sharul Othman, jumlah saman yang dicatatkan untuk Op Selamat 13 meningkat sebanyak sebanyak 40 peratus iaitu 201,835 berbanding Op Selamat 11 sebanyak 159,249 saman.

Jelasnya, saman paling tinggi dikeluarkan ialah atas kesalahan memandu laju yang berjumlah 175,745 saman.

"Berbaki sehari lagi sebelum Op Selamat 13 tamat, kita lihat statistik keseluruhan menurun dan hanya saman yang meningkat.

"Kita percaya operasi yang dilakukan secara berterusan dengan kerjasama agensi-agensi lain antara yang menjadi faktor utama penurunan pada tahun ini," ujarnya.


Video oleh AZRUL RADI

Dalam pada itu, mengulas mengenai operasi yang dijalankan malam tadi, sebanyak 94 saman pelbagai kesalahan dicatatkan.

Jelasnya, 12 warga asing ditahan kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri dan seorang pemandu lori turut ditahan kerana positif dadah.

Tambahnya, operasi yang bermula pukul 7 petang itu turut disertai oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat. - UTUSAN ONLINE