Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL

Cabaran itu dilontarkan oleh Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang turut berkata, jika tiada tindakan diambil dalam masa dua minggu ini, pihaknya tidak akan teragak-teragak untuk membuat tindakan drastik.

"Jika pihak majlis tidak ambil tindakan, dalam waktu dua minggu lagi jangan salahkan NGO jika bertindak di luar daripada lunas undang-undang," kata Jamal dalam satu sidang akhbar mengenai isu sosial itu yang dilihat makin parah.

"Kami percayakan undang-undang, namun jika undang-undang pejam mata, maka kami yang celik, yang melihat dan mendengar ini punya tanggungjawab dan kewajipan kami selaku pemimpin-pemimpin NGO dalam Selangor untuk banteras gejala ini," kata Jamal yang turut menambah, satu mesyuarat khusus bersama semua NGO di Selangor yang bernaung di bawah persatuannya akan diadakan dalam masa terdekat.

Berdasarkan rekod, pusat mesin judi haram beroperasi secara 'sah' kerana berselindung di sebalik lesen pusat hiburan keluarga yang dikeluarkan oleh majlis daerah.

Jamal mendakwa, di daerah Ampang sahaja terdapat kira-kira 700 pusat judi haram yang 'dilesenkan' oleh majlis daerah, dan setakat malam tadi berdasarkan maklumat, kira-kira 6,800 pusat yang masih beroperasi di seluruh negeri Selangor.

"Azmin selalu berkata dia Menteri Besar Selangor yang terbaik, hingga mampu himpunkan berbilion untuk negeri. Jadi, untuk apa lagi membenarkan majlis daerah mengeluarkan lesen pusat hiburan keluarga," kata Jamal.

"Cukup-cukuplah Azmin Ali, gunakanlah kuasa yang ada sekarang sebagai Menteri Besar supaya menarik balik lesen atau membatalkan lesen-lesen pusat hiburan keluarga (yang telah diberi)," tambah Jamal. - UTUSAN ONLINE