Presidennya, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, perkara itu menjadi tanda tanya kerana penyaluran dana oleh pihak asing kepada portal tersebut seperti mana aduan orang awam dalam portal, My Aduan Rasuah didapati dibuat tanpa sebarang proses dokumentasi.

“JMM meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dana tunai hampir RM3 juta yang disalurkan ke akaun bank The Malaysian Insight yang didaftarkan atas nama syarikat Inside Media Sdn. Bhd.

“Kita mahu tahu apakah tujuan wang tunai ini dimasukkan ke dalam akaun bank tersebut tanpa ada sebarang dokumentasi. Kita bimbang sekiranya wang berbentuk rasuah ini cuba disalurkan untuk agenda asing bagi mengganggu-gugat negara," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Semalam, Azwanddin mendedahkan portal berita itu mempunyai hubungan dengan syarikat berpangkalan di Hong Kong yang dikenal pasti sebagai Asian Inside Pte. Ltd.

Dakwanya, pemilik Inside Media Sdn. Bhd. dan Asian Inside Pte. Ltd. adalah individu yang sama dan sebelum ini mereka juga berperanan menjalankan operasi sebuah portal proembangkang yang telah ditutup iaitu The Malaysian Insider.

Dalam pada itu, Azwanddin berkata, JMM juga berharap SPRM dapat segera membuka kertas siasatan terhadap portal berita itu kerana sering memburukkan kepemimpinan negara sehingga memberi mesej salah kepada rakyat.

Malah, katanya, baru-baru ini portal berita itu telah mengkritik Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an.

“The Malaysian Insight dilihat sengaja mahu memanipulasikan ekonomi negara dengan tujuan supaya negara dilihat lemah dari segi ekonomi. Siasatan ini amat penting kerana membabitkan kemasukan dana yang tidak diketahui sumbernya dan tujuannya serta siasatan itu bukan saja perlu dibuat terhadap akaun syarikat tetapi juga kepada akaun pemilik syarikat, pengarah, setiausaha, peguam, pengarang serta kakitangannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE