Video oleh AZNAN BAKAR

Abe berkata, Dasar Pandang Ke Timur juga akan diremajakan semula dengan ditingkatkan kepada pertukaran dalam bidang pendi­dikan, pembangunan sumber manusia dan pemindahan teknologi.

‘‘Melalui Dasar Pandang Ke Timur, ramai rakyat Malaysia datang ke Jepun untuk belajar tentang nilai sosial, sains dan teknologi, etika kerja, serta belajar yang mana ini telah me­nyumbang kepada pembangunan Malaysia.

‘‘Melalui Dasar Pandang Ke Timur juga, telah membina hu­bungan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,’’ kata Abe ketika memberikan kenya­taan bersama selepas menerima kunjungan hormat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seterusnya diikuti dengan perbicangan dua hala Malaysia-Jepun di sini hari ini.

Kunjungan itu sempena lawatan kerja tiga hari Dr. Mahathir di Jepun bagi menyertai Persida­ngan Masa Dena Asi (Persidangan Nikkei).

Pada pertemuan itu Dr. Mahathir turut diiringi Ketua Setia­usaha Kementerian Luar, Datuk Seri Ramlan Ibrahim dan Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris.

Manakala Abe pula diiringi Timbalan Ketua Setiausaha Kabinetnya, Yasutoshi Nishimura dan Penasihat Khas Perdana Menteri, Kentaro, Sonoura.

Mengulas mengenai perte­­mu­annya dengan Dr. Mahathir itu, Abe berkata, ia sangat produktif yang banyak melibatkan pertukaran pandangan tentang hubu­ngan dua hala di samping perkembangan serantau.

Kata Abe, beliau dan Dr. Mahathir juga berharap sidang kemuncak Amerika Syarikat dan Korea Utara di Singapura akan mencapai kejayaan positif.

Perbincangan juga kata Abe, meliputi isu Indo-Pasifik termasuk memastikan kebebasan penggunaan Laut China Selatan dan Selat Melaka demi untuk keamanan dan kemakmuran serantau.

‘‘Jepun sedia bekerjasama de­ngan mana-mana yang menyokong konsep ini dan dengan Malaysia kita akan mengukuh hubungan termasuk untuk ke­amanan dan kestabilan serantau.

‘‘Kami akan memanfaatkan lawatan ini dan akan bekerja rapat dengan Dr. Mahathir untuk mempertingkatkan hubungan dengan Malaysia dalam pelbagai sektor,’’ katanya. – UTUSAN