Jenazah tiga beranak berkenaan selamat dikebumikan dalam keadaan hujan lebat kira-kira pukul 2.30 petang ini yang dihadiri ahli keluarga terdekat dan penduduk setempat.

Suasana suram menyelebungi tanah perkuburan tersebut apabila salah seorang anak mangsa, Mohd. Zali Baharom, 37, dilihat menangis di pusara kedua ibu bapa dan adiknya itu.

Mohd. Zali yang difahamkan sudah dibebaskan dari tahanan polis bagi membantu kes berkenaan dipapah oleh ahli keluarganya ke tanah perkuburan itu dan dilihat tidak putus-putus berdoa.

Ahli keluarga mangsa, Kamardin Pin, 54, berkata, dia bersyukur segala urusan pengebumian tersebut selesai selepas jenazah terpaksa melalui pelbagai proses sebelum ini.

Sehubungan itu, dia berharap agar semua pihak tidak lagi bercerita buruk mengenai keluarga berkenaan.

“Selagi ujian kimia tidak dikeluarkan, saya harap jangan mana-mana pihak membuat andaian mangsa bunuh diri, minum racun atau apa-apa perkara tidak elok.

“Semua sudah selesai dengan baik dan kami sekeluarga juga reda dengan kejadian yang berlaku itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah tiga sekeluarga tersebut disembahyangkan di Masjid negeri Arau kira-kira pukul 1.20 petang.

Sebelum ini, akhbar melaporkan tiga mayat sekeluarga dipercayai mati lemas ditemukan di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat.

Mayat pertama, Norzalina Baharom, 35, ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung di Sungai Arau, Kampung Belat Batu di sini, kira-kira pukul 9 pagi.

Tidak lama selepas itu, mayat kedua iaitu Norma Pin, 64, ditemukan oleh orang awam di Sungai Tambun Tulang di sini iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama.

Tiga jam kemudian iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari, mayat suami kepada Norma, Baharom Ahmad, 66, pula ditemukan di pintu tali air B, Sungai Tambun Tulang berhampiran Kampung Che Ok, Simpang Empat. - UTUSAN ONLINE