Video oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM

Duta Palestin ke Malaysia, Datuk Dr. Anwar Al Agha berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan kerajaan Malaysia berhubung perkara tersebut.

Menurut beliau, pihaknya juga telah menghubungi ahli keluarga Fadi di Gaza dan mereka mendesak jenazah dikebumikan di sana.

“Usaha membawa pulang jenazah sedang dilakukan namun ada beberapa proses perlu dilalui.

“Kita harap semuanya dapat diselesaikan dan jenazah Allahyarham dapat dibawa pulang ke Gaza secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar di Unit Forensik, Hospital Selayang di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Anwar, pihaknya juga mendapat arahan dari Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk membawa pulang ahli keluarga Fadi di sini.

“Kita sedang menyiapkan dokumentasi isteri dan tiga anak Allahyarham agar mereka dapat dibawa pulang bersama jenazahnya.

“Selain itu, kita juga sedang menunggu abang Fadi yang dijangka tiba dari Jerman hari ini,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, Fadi ditemukan mati akibat ditembak 10 kali oleh dua suspek yang menaiki motosikal berkuasa tinggi di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Setapak di sini.

Mangsa yang merupakan pensyarah sebuah universiti swasta di sini dipercayai ditembak di bahagian badan dan kepala ketika dalam perjalanan ke Surau Medan Idaman bagi menunaikan solat subuh.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.