Video Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA

Oleh itu, jemaah haji disaran agar sentiasa mengikut nasihat petugas perubatan Lembaga Tabung Haji, kata Pengurus Besar Kanan (Haji) Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman selepas melepaskan kumpulan kedua petugas haji ke tanah suci di Kompleks Tabung Haji di sini hari ini.

“Berbanding suhu di Malaysia 36 atau 34 darjah Celsius, ini satu cabaran yang besar kepada jemaah. Malah TH telah memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada jemaah semasa kursus haji supaya lebih bersedia menghadapi suasana cuaca panas dengan menjaga kesihatan dan tidak terdedah kepada cuaca panas,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia berkata, 141 petugas haji terdiri daripada 62 petugas kebajikan, 63 petugas perubatan dan 16 petugas media berlepas ke tanah suci melalui penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) pada pukul 2.45 petang ini.

Syed Saleh berkata, kumpulan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 600 petugas, dengan kumpulan pertama melibatkan 13 petugas teknologi maklumat berlepas pada 2 Julai lepas, manakala selebihnya berlepas pada 11 Julai ini.

Segala perancangan dan persiapan Tabung Haji bagi operasi haji kali ini berjalan lancar dengan kerjasama agensi-agensi terlibat termasuk Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia serta Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

Terdahulu dalam amanatnya kepada petugas haji pada majlis itu, Syed Saleh berharap mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan amanah bagi memastikan kelancaran ibadah jemaah haji Malaysia.

“Pada tahun lepas indeks ke­puasan pelanggan kita adalah 85 peratus, jadi saya harap tahun ini indeks itu lebih daripada 85 peratus,” katanya.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadual 14 Julai ini dan penerbangan pergi terakhir pada 15 Ogos, manakala penerbangan pulang dijadual 29 Ogos hingga 25 September.

Sebanyak 81 penerbangan sewa khas akan digunakan bagi operasi haji tahun ini melibatkan 40 penerbangan MAB dan 41 penerbangan Flynas. – BERNAMA