Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, hukuman sebat dalam Islam itu bukan bertujuan untuk membunuh atau menyakiti pasangan lesbian terlibat sebaliknya bagi memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka berdua serta orang lain yang melihatnya.

Kata Harussani, hukuman sebat dijalankan mengikut kaedah-kaedah tertentu antaranya tangan orang yang merotan tidak diangkat terlalu tinggi selain hanya menggunakan rotan yang hanya sederhana besar.

“Hukuman itu tidak bengis, kalau bengis dicakar dengan pencakar atau dibunuh tapi ini pengajaran jadi kita kena faham dari segi hikmah undang-undang, jangan tengok dari segi hikmah politik sebab politik ini memang menyokong macam-macam.

“Tetapi undang-undang lain, undang-undang dalam Islam adalah pengajaran, itu sebab kita lihat hukuman itu disaksikan orang lain supaya orang lain tidak berani nak buat dan pesalah pun tidak berani hendak ulang sebab kalau dia ulang dia akan kena sebat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup program Wacana Kesejagatan Ummah 2018 di Dewan Bandaran Ipoh di sini hari ini.

Harussani mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpendirian hukuman sebat ke atas dua wanita di khalayak ramai oleh Mahkamah Tinggi Terengganu baru-baru ini memberi gambaran yang buruk terhadap Islam. - UTUSAN ONLINE