Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mereka juga tidak wajar membuat sebarang spekulasi yang boleh mencemar institusi berkenaan.

“Adalah tidak adil untuk kita menghukum mana-mana pihak, biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pukul 8.20 malam ini.

Asyraf Wajdi mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membantu segala bentuk bantuan dan keperluan untuk keluarga Mohamad Thaqif Amin.

Semasa lawatan tersebut, bapa mangsa, Mohd. Gaddafi Mat Karim, 43, diberikan peluang bercakap dengan Najib di telefon selama kira-kira satu minit.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad.


Video oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI

Pelajar madrasah tahfiz swasta itu meninggal dunia pukul 2.05 petang tadi setelah dimasukkan ke wad HSI sejak 19 April lalu.

Akhbar sebelum ini melaporkan kedua-dua belah kaki Mohamad Thaqif Amin yang bertukar lebam terpaksa dipotong hingga paras betis setelah dijangkiti kuman dan darah beku.

Ibu mangsa, Felda Wani Ahmad, 40, mendakwa anak ketiga daripada lima beradik itu beberapa dipukul dengan paip getah oleh seorang pembantu warden pusat madrasah tahfiz berkenaan.

Susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa di Balai Polis Ulu Tiram pada 18 April lalu, polis menahan lelaki berusia 29 tahun itu bagi membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE