Menurut Jamal, tindakan itu juga sebagai simbolik ‘perang’ menghapuskan pusat perjudian di seluruh Selangor.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai pusat perjudian di Selangor yang masih berleluasa kerana Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kerajaan negeri gagal menangani gejala tersebut.

“Sebanyak 6,800 pusat perjudian dikenal pasti beroperasi di seluruh Selangor dan jumlah itu meningkat kepada 7,200 pada cuti Hari Kemerdekaan dan Hari Raya Aidiladha minggu lalu.

“Daripada jumlah itu, seba­nyak 700 pusat perjudian beroperasi di Ampang sahaja hasil daripada lesen pusat hiburan keluarga yang diluluskan oleh kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan dan majlis daerah,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Gabungan NGO-NGO Malaysia, Ampang dekat sini hari ini.

Tahun lalu, Jamal bersama beberapa NGO lain turun padang menyerbu pusat perjudian di sekitar Ampang sambil disaksikan oleh pihak media sehingga dia ditahan selama lima hari bagi membantu siasatan pihak polis.

Beliau mendakwa, punca uta­ma pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan lesen kepada pengusaha pusat perjudian adalah kerana terdapat desakan daripada ahli majlis yang dilantik oleh kerajaan negeri yang mempunyai agenda tertentu.

“Cukup-cukuplah Azmin, gunakan kuasa yang diamanahkan itu untuk menarik balik atau membatalkan lesen-lesen sedia ada kerana ia hanya merosakkan masyarakat dengan aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Tambahnya, Selangor merupakan ‘ibu’ kepada segala perjudian.

“Jika pusat judi di Selangor dapat ditumpaskan pasti negeri-negeri lain akan mengikut langkah menutup semua pusat perjudian,” ujarnya.