Video Oleh NOR ASHIKIN HASSAN

Sekalipun pernah berhadapan dengan masalah untuk menyesuaikan diri di awal perkahwinan, namun penghibur legenda itu dan isterinya sentiasa belajar untuk memahami dan menerima kelemahan serta kelebihan ma­sing-masing.

Berkahwin kali keempat pada usia 58 tahun, Jamal membe­ritahu, Zai Izzati merupakan anugerah terindah daripada Allah buatnya.

Mensyukuri kurniaan terindah itu, beliau yang sangat masyhur dengan lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu kini bersedia untuk membawa Zai Izzati mendam­pinginya ke mana sahaja selepas ‘menyembunyikan’ isterinya selama 11 bulan.

“Tidak ada salahnya saya bawa dia sekarang kerana kami sudah biasa keluar bersama sejak bernikah tahun lalu. Isteri saya adalah anugerah terindah daripada Tuhan kerana dalam usia saya 58 ketika berkahwin, saya dipertemukan jodoh dengan seorang gadis berusia 23 tahun.

“Dia adalah peneman setia saya ke mana-mana majlis. Semua orang tahu kami sudah berkahwin dan dia isteri yang perlu dihargai dan disayangi,” kata Jamal memperkenalkan isterinya kepada wartawan dalam sidang akhbar pengumuman majlis Luncheon With The Stars sempena Minggu Setiausaha di Hotel Tenera, di sini hari ini.

Jamal yang kini berusia 59 tahun dan Zai Izzati, 24, disatukan pada 1 April tahun lalu di Ipoh, Perak dalam satu majlis tertutup selepas diperkenalkan oleh kenalan terdekat.

Berita pasangan berkenaan hanya dihidu oleh media sebulan selepas pernikahan mereka dan sejak itu, Jamal tidak pernah mendedahkan identiti isterinya kepada orang ramai.

Bercerita lanjut mengenai isterinya itu, Jamal mengakui, sebelum berkahwin, beliau langsung tidak mengenali Izzati mahupun keluarganya.

“Kami berjumpa pun hanya sekali sebab masing-masing sibuk untuk melakukan persiapan pernikahan. Ia bukan cinta pandang pertama tetapi ia jodoh yang diatur Tuhan dan saya menerimanya dengan ikhlas,” kata juara Bintang RTM 1979 itu lagi.