Pengarah JAIP, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, hukuman sedemikian wajar dilakukan dan perlu berlandaskan Islam.

“Kita menyokong sebab ia melambangkan keindahan Islam.

“Di peringkat negeri ini, masih belum diputuskan lagi. Kita akan melihat perkara (hukuman) itu,” katanya selepas merasmikan Kembara Merdeka Hijrah 2018 di perkarangan JAIP di sini hari ini.

Semalam, pasangan lesbian masing-masing berumur 22 dan 32 tahun tersebut disebat sebanyak enam kali setiap seorang selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.

Hukuman sebat di khalayak umum itu adalah pertama kali dilakukan di negeri itu yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia di dalam Dewan 2 mahkamah berkenaan. - UTUSAN ONLINE