Video oleh ASMA HANIM MAHMOOD

Timbalan Ketua Wanita Pertubuhan Ikram (Ikram) Pusat, Dr Hafidzah Mustakim berkata, selain ibu bapa, pihak lain seperti guru termasuk pengasuh di pusat asuhan harus cakna dan sensitif dengan sebarang perubahan ditunjukkan kanak-kanak.

Beliau berkata, banyak kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak dilakukan oleh orang yang dipercayai dan terdekat dengan kanak-kanak.

"Ada satu kes di sebuah tadika di satu daerah di Kelantan guru pengasuh hairan melihat anak muridnya datang ke tadika dengan berjalan terkangkang, hasil siasatan rupa-rupanya kanak-kanak itu telah dicabuli oleh datuk tirinya.

"Satu kes lagi apabila seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang balik dari kem cuti sekolah tiba-tiba suka mengacau rakan lain dengan menunjukkan kemaluannya.

"Apabila ditanya oleh ibu bapa dia rupa-rupanya terpengaruh dengan aksi budak lelaki berusia 11 tahun di kem tersebut yang telah meliwatnya dan peserta lain," katanya selepas melancarkan kempen Malaysians Against Pornography (MAP) peringkat negeri Kelantan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Wanita Ikram negeri, Dr Norhani Abd Rani.

Lebih 40 peserta mewakili 25 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir pada program itu.

Kempen MAP adalah kesinambungan daripada gerakan Mawar Putih pada 2013 dan Mothers Against Pornography pada 2015 yang bertujuan membanteras pornografi di peringkat akar umbi. - UTUSAN ONLINE