Pengurus Program Sisters in Islam (SIS), Shareena Sheriff ketika berkata demikian turut menyatakan, keadaan ini menyebabkan usaha untuk memisahkan Islam daripada fungsi kerajaan sekarang ataupun dalam masa terdekat sukar untuk dilakukan.

Justeru, kata beliau, untuk maju kehadapan dalam soal yang berkait dengan Islam, semua pihak perlu mengiktiraf bahawa agama itu merupakan satu perkara yang terbuka untuk dibahaskan dan dibincangkan.

Jelas beliau, ketika ini suara paling lantang dalam isu berkenaan adalah daripada pihak konservatif sehingga menenggelamkan pihak-pihak lain. 


Video oleh ANUAR MANSOR

"Sudah tiba masa bagi pihak-pihak lain ini untuk ke hadapan dan menunjukkan terdapat jenis Islam yang berbeza yang dimahukan oleh orang-orang yang berlainan.

"lni tidak bermakna mereka salah; menentang Islam atau anti-Islam," kata beliau ketika sesi soal jawab forum Malaysia Baru: 61 Tahun Selepas Merdeka, Adakah Etnik dan Agama Masih Penting? (Malaysia Baru: 61 Years After Merdeka, Do Ethnicity and Religion Matters?) yang berlangsung di sini malam tadi.

Shareena menambahkan, pihak-pihak ini juga perlu menunjukkan bahawa terdapat juga versi Islam yang sesuai dengan umat Islam moden; sistem kepercayaan dan budaya-budaya yang berlainan.

Tegas beliau, persekitaran perbincangan tersebut perlu dijadikan norma masa kini tidak lagi boleh disenyapkan seperti yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

Shareena merupakan salah seorang daripada lima panelis forum  mengenai kepentingan perkauman dan agama selepas perubahan lanskap politik negara setelah Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Forum anjuran Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Panelis lain yang hadir pada forum berkenaan ialah pakar perundangan dan perlembagaan Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi;  kumpulan tokoh Melayu profesional (G25), Tan Sri Sheriff Mohd. Kassim dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malayais (Suhakam ), Jerald Joseph dan (GBM), Jerald Joseph. - UTUSAN ONLINE