Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, ini kerana sudah ada pengakuan yang dibuat oleh pihak yang mendakwa terlibat dalam video itu.

“Kita tidak tahu benar atau salah tetapi ada pengakuan maka perlu rujuk kepada pihak berkuasa sebab isu ini melibatkan Kanun Keseksaan Seksyen 377A dan 377B sebab itu kita serah kepada polis dan mahkamah syariah sendiri.

“Terserah kepada pihak berwajib,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penularan video intim luar tabii yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet sejak semalam.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, penyebaran video itu mempunyai motif politik tetapi tujuannya tidak diketahui.

“Saya tidak menafikan ada agenda politik disebalik tersebar video ini, pihak yang terlibat sahaja yang tahu.

“Amat malang Malaysia dicemari perkara seperti ini. Politik kita jatuh ke standard yang begitu rendah,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau meminta semua ahli parti itu supaya tidak terlibat dalam isu tersebut khususnya menyebar dan mengulas video tersebut. - UTUSAN ONLINE