Ini kerana pada tahun lalu sahaja, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) merekodkan kira-kira 6,800 daripada 30,844 individu yang ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah terdiri daripada golongan nelayan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, peratusan sekitar 20 peratus daripada tangkapan itu bukan satu angka yang kecil dan dibimbangi akan merebak kepada majoriti nelayan, jika tidak dikawal.

Kata beliau, menerusi pemerhatian yang dilakukannya, kaedah yang digunakan agensi terlibat tidak cukup berkesan dan sewajarnya mereka memikirkan satu langkah terbaik bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.

"Perkara utama ialah pengedar dan penagih kerana jika kita peroleh maklumat lengkap dan tepat pada masanya, tindakan boleh diambil pihak berkuasa. Untuk mendapatkan maklumat, setakat ini hanya bergantung kepada agensi antidadah, polis dan sebagainya tetapi mereka juga ada kerja lain, tidak dapat hendak tumpu.

"Semua ahli masyarakat perlu menjadi ejen pihak berkuasa mendapatkan informasi tetapi biasalah untuk mendapatkan sokongan dan kerjasama yang bersungguh-sungguh, mesti ada insentif atau habuan untuk mereka.

"Saya mencadangkan agar diberikan imbuhan dalam bentuk wang, kalau tangkap penagih, lain jumlahnya, begitu juga pengedar kerana mereka ibu segala masalah. Kalau ada imbuhan yang besar dan menarik, saya ingat ramai yang akan buka mata melihat sekeliling mahu bantu kita dapatkan maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan skuad nelayan antidadah dan penyampaian bantuan nelayan di tapak Gerakan Nelayan Nasional (GNN) 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausah Kementerian, Datuk Seri Ismail Abu Bakar; Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), M. Saedon Ab. Majid dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi AADK, Izhar Abu Talib.

Sementara itu, Izhar memberitahu, dadah dijadikan sumber kekuatan atau tenaga oleh segelintir nelayan atas alasan mereka terpaksa berada di laut selama beberapa hari bagi mencari rezeki.

Katanya, mereka percaya dengan mengambil dadah mampu memberikan kekuatan dan pada masa sama, mampu menghilangkan rasa bosan ketika di tengah laut.

"Paling membimbangkan mereka mudah memperoleh dadah dan tidak perlu mengeluarkan duit poket sendiri tetapi menerusi sistem barter. Mereka turun menangkap ikan di laut dan kemudiannya hasil berkenaan ditukar dengan dadah di jeti.

"Sudah tentu pengedar dadah mudah mendapat akses dengan penagih dadah dalam kalangan nelayan. Boleh berhutang juga menarik minat segelintir nelayan ini," katanya. - UTUSAN ONLINE