Penolong Pengarah Bahagian Kejuruteraan Jabatan Pertanian, Mohamad Fiqri Shaffie berkata, mesin jagung yang pertama dihasilkan di Malaysia itu diinovasikan daripada mesin kukur kelapa dengan penambahan mata pisau khas untuk meleraikan biji buahan tersebut.

Jelasnya, para usahawan jagung juga boleh menjana pendapatan sebanyak tiga kali ganda dengan menggunakan mesin tersebut.

“Sebelum mesin ini dicipta, para peniaga yang menjual makanan berasaskan biji jagung biasanya membeli yang dah siap atau 'frozen'. Itu lagi mahal.

“Tapi, dengan modal RM350 ke RM400 untuk membeli mesin ini, mereka boleh hasilkan biji jagung menggunakan jagung segar dari peladang dalam lingkungan harga 50 sen ke RM1 berbanding membeli biji jagung di pasaran yang dalam RM3 untuk setongkol,” katanya kepada Utusan Online.

Beliau berkata demikian pada pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), dekat sini hari ini.

MAHA 2018 hanya berbaki 3 hari sahaja lagi apabila dibuka kepada orang ramai bemula 22 November lalu sehingga 2 Disember depan. - UTUSAN ONLINE