Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penggiat industri kreatif perlu keluar daripada zon selesa dan mencabar diri melakukan perkara yang boleh membanggakan diri dan negara.

Katanya, kementeriannya akan mengadakan mesyuarat bersama penggiat seni dalam masa terdekat selain berharap agar kerajaan mempunyai dana yang cukup bagi melonjakkan pertumbuhan industri kreatif untuk ke arah yang lebih maju.

"Contohnya, filem animasi tempatan mempunyai potensi yang besar, ini terbukti apabila filem Upin dan Ipin telah berjaya disiarkan di Disney Channel jadi tidak mustahil kita mampu melebarkan sayap seperti fenomena K-Pop.

"Negara maju mengeluarkan 1,000 judul baharu bagi sejuta rakyat setiap setahun jadi kita perlu ada 30,000 memandangkan kita ada 30 juta penduduk malangnya menurut Yayasan Pembangunan Buku Malaysia dan Perpustakaan Negara jumlah judul buku baharu di negara ini sekitar 15 hingga 17 buku baharu pada 2015 jadi jumlah itu jauh ketinggalan apabila kita ada 28 juta penduduk ketika itu," katanya ketika merasmikan buku Sejuta Jiwa Yang Telanjang (SJYT) karya Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017.

Menurut Khairy, sastera novel dan filem animasi tempatan juga perlu memaparkan mesej yang positif supaya ia dapat memberi pengajaran dan contoh yang baik kepada penonton.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai SJYT, Budiman berkata, buku yang dijual dengan harga RM18 merupakan buku "non-fiksyen" pertama terbitan Lejen Press yang merupakan hasil penulisan beliau dalam masa tiga tahun.

Katanya, SJYT  mengupas kepentingan pendidikan yang ditekankan dalam setiap bab, dengan pelbagai topik yang berkaitan.

"Karya ini turut saya selitkan pengalaman saya ketika kecil hingga sekarang menerusi makna pendidikan yang sebenar dan secara tidak langsung membuka perspektif baharu terhadap corak perbezaan kehidupan dahulu dan sekarang yang dipengaruhi alat bantu mengajar yang canggih," ujarnya.-UTUSAN ONLINE