Video oleh AZRAN FITRI RAHIM

Raja Amirul Mukmin, 13, bersama ayah, Raja Safari Raja Ibrahim, 38, dan ibunya, Rozilawati Mamat, 36, yang diiringi oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gong Manak, Rosli Ismail dan Presiden Kelab Volunteer i Care (VIC), Muhammad Afiq Aiman Sukri mendaftarkan diri di sekolah tersebut.


Malah pelajar yang cacat pada jari tangan kirinya itu turut disambut oleh Ketua Sektor Pendidikan Khas dan Swasta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Ahmad Yani Muhammad; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Puteh, Harun Yusof dan Penolong Kanan 1 SMS Machang, Radzuan Ismail. 


RAJA AMIRUL SMS MACHANG
 

Keluarga Raja Safari dibawa oleh kenderaan khas yang disediakan oleh (VIC) kerana mereka tidak mempunyai kereta. 


Sementara itu, Raja Amirul Mukmin berkata, dia berdebar untuk memulakan kehidupan baharu sebagai pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) yang terpaksa tinggal berjauhan daripada keluarga. 


“Saya berterima kasih kepada semua yang membantu meringankan beban keluarga saya, terutama pengarah JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Puteh, lebih-lebih lagi guru besar kerana memujuk saya untuk ke sekolah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 


Kisah Raja Amirul Mukmin mendapat perhatian banyak pihak selepas dia yang tinggal bersama keluarganya di sebuah reban ayam yang diubah suai diziarahi oleh Rosli serta disiarkan dalam Utusan Online baru-baru ini. 


Rosli menziarahi pelajar tersebut selepas mendapat tahu dia tidak mahu melanjutkan pelajaran ke SMS Machang kerana enggan membebankan ayahnya disebabkan mereka hidup dalam kemiskinan. 


AMIRUL SEKOLAH
 

Bagaimanapun selepas berita tersebut dilaporkan, keluarga itu terus mendapat perhatian banyak pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang akan membina sebuah rumah baharu. 


Dalam pada itu, Ahmad Yani berkata, pihaknya akan memastikan pelajar tersebut menerima kemudahan yang terbaik sepanjang menuntut di sekolah itu. 


Tambahnya, anak sulung daripada tiga beradik itu akan menerima bantuan dan juga biasiswa sepanjang belajar di situ. - UTUSAN ONLINE