Pandangan itu disuarakan oleh Pengerusi Persatuan Veteran Ang­katan Tentera Malaysia (ATM), Sena­­tor Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor bahawa kepentingan ilmu dalam melahirkan perajurit berkepemimpinan tinggi sangat mus­tahak kepada agenda mempertahankan negara.

Lebih-lebih lagi, ujar bekas Pang­­lima ATM itu, ketika landskap pertahanan antarabangsa berevolusi selepas pasca Perang Dunia Kedua yang melihatkan ancaman bukan lagi datang daripada sesebuah negara tetapi oleh kumpulan atau ge­rakan dengan agenda ter­tentu.

“Revolusi ketenteraan ini telah mewujudkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan tujuan utama membentuk pe­mimpin tentera yang bukan hanya mahir mengendalikan aset ketente­raan, malah mening­katkan kemahiran berfikir dan rasionalisasi apabila berhadapan senario peperangan baharu hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program Advokasi Ilmuwan bertajuk Benteng Pertahanan Negara: Ilmu Akademik Atau Ketenteraan? di UPNM di sini hari ini.

Yang turut menjadi panel Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Tengku Mohd. Tengku Sembok dan Dekan Pengajian Siswazah Ghazali Shafie Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd. Kamarulnizam Abdullah.

Yang turut hadir Naib Canselor UPNM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr. Raduan Che Ros; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor dan Timbalan Setiausaha Agung MPN, Profesor Dr. Kamaruddin Said.

Program Advokasi Ilmuan de­ngan kerjasama MPN, Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini merupakan siri terakhir untuk musim pertamanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Anwar memberitahu, persoalan pertahanan negara tidak sewajarnya di­letakkan sepenuhnya kepada ATM atau pasukan keselamatan lain, tetapi perlu mendapat kerjasama daripada masyarakat.

Berdasarkan konsep ‘Hanruh’ (Pertahanan menyeluruh) Mohd. Anwar menjelaskan, rakyat juga memainkan peranan menjaga kedaulatan pertahanan negara.

“Sebab itu dicadangkan supaya rakyat menjadi mata dan telinga kepada pasukan risikan tentera. Di Barat, apa juga perkara yang tercetus sehingga menggugat keselamatan negara akan segera dilaporkan oleh rakyatnya,” jelas beliau.