Video oleh FARID JANUDIN

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Nadhri Wan Fauzi berkata, unjuran itu bakal menyaksikan lonjakan kira-kira 24 peratus berbanding pengeluaran 3,900 tan metrik  pada tahun lalu.

Katanya, Blue Archipelago yang merupakan salah satu peneraju utama sektor perladangan akuakultur negara telah menjana pendapatan RM72 juta keseluruhannya pada tahun 2017 menerusi dua ladangnya termasuk di Kerpan, Ayer Hitam, Kedah.

"Daripada jumlah itu, 90 peratus adalah melalui pasaran domestik manakala 10 peratus hasil eksport. Udang putih Blue Archipelago dieksport ke negara China, Jepun, New Zealand, Singapura dan Perancis," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program D'Mukim dan Jualan Sentuhan Rakyat sempena Majlis Pelepasan Benih Udang di iSHARP yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee; Ahli Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Pegawai Daerah, Rosdi Awang.

Dalam majlis itu, sebanyak 400,000 benih udang dilepaskan ke dalam sebuah kolam di i-SHARP.

Sementara itu, Wan Nadhri memberitahu, harga udang putih yang kekal tinggi sejak tahun lalu mendorang Blue Archipelago memberi tumpuan kepada pasaran tempatan sekali gus menyumbangkan ke arah perkembangan perniagaan restoran dan gerai termasuk di daerah ini dengan bekalan yang berterusan.

i-SHARP Setiu sebagai salah satu projek di bawah Projek Berimpak Tinggi, merupakan ladang akuakultur tunggal di Semenanjung yang melaksanakan Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA).

Berkeluasan 1,000 hektar, dimajukan di bawah konsep kerjasama swasta, kerajaan negeri dan Persekutuan, fasa pertama melibatkan pelaburan RM150 juta mulai dibangunkan pada tahun 2010 dengan 268 kolam (430 hektar). - UTUSAN ONLINE