Video oleh ASWAD YAHYA

Ketua Pemasaran Produk Digital Utusan Malaysia, Mohamad Asra Adlan Mohamed Asri berkata, objektif ruangan itu adalah untuk menggalakkan golongan berkenaan membaca Utusan Malaysia melalui platform digital iaitu e-Paper dan Utusan Online.

Beliau berkata, generasi muda terutama di universiti juga berpeluang menulis dan melahirkan pandangan masing-masing tentang isu-isu semasa untuk disiar­kan menerusi akhbar arus perdana itu.

“Selain menggalakkan pemikiran kritis, ia juga dapat menambah pengetahuan serta mencungkil bakat dan mempertajam kemahiran menulis dalam kala­ngan pelajar universiti,” katanya selepas majlis Penyerahan Tajaan Program Malaysia Kita Kepada Pelajar dan Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, dekat sini di sini hari ini.

Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor hadir bagi menyempurnakan penyerahan tajaan tersebut kepada Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Datuk Dr. Roshada Hashim.

Menurut Mohamad Asra Adlan, ruangan Malaysia Kita juga membuka peluang kepada pihak universiti untuk berkongsi dengan masyarakat tentang pencapaian serta aktiviti yang dianjurkan.

Jelasnya, wakil pelajar boleh menyalurkan sebarang program dan aktiviti di universiti untuk disiarkan dalam ruangan Malaysia Kita dengan melayari Utusan Online (http://www.utusan.com.my) atau pergi terus ke http://bit.ly/hantarartikel.

Beliau memberitahu, melalui kempen yang dijalankan ketika ini, pihak universiti mendapat akses percuma e-Paper Utusan Malaysia bernilai RM100 seunit untuk 500 pelajar dan pensyarah selama enam bulan.

Katanya, selain itu mereka juga berpeluang menyertai program anjuran Utusan Online se­perti forum, bengkel dan wawancara secara langsung.