Mufti negeri, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, beliau hairan kerana kedua-duanya tidak melalui proses tersebut sebaliknya seolah-olah mengaku dan membiarkan mereka dihukum.

Katanya, berikutan itu beliau bimbang sekiranya terdapat andaian bahawa hanya dengan menjalani hukuman sebat di hadapan khalayak ramai itu, mampu menghapuskan sesuatu dosa.

“Ini merupakan maksiat peribadi yang adalah lebih baik kita memohon ampun pada Allah SWT. Melainkan jika sekiranya ia kes curi dan rompak yang melibatkan masyarakat.

“Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat lelaki yang mengaku menghampiri zina dengan seorang wanita dan minta dihukum tetapi Nabi Muhamad mengarahkannya supaya bersolat dan memohon ampun kepada Allah SWT.

“Sesungguhnya agama meminta kita bertaubat kepada-Nya dan tidak mendedahkan aib peribadi kerana Islam itu sendiri bersifat menutup aib,” katanya dalam satu rakaman ceramah beliau di sini hari ini.

Mohd. Asri turut menjelaskan bahawa hukuman sebat ke atas dua wanita itu merupakan hukuman takzir iaitu keputusan hakim syariah.

Katanya, hukuman sebat itu mahu pun denda tiada kena mengena dengan perintah Allah SWT atau suruhan Nabi Muhamad SAW seperti mana di dalam hudud.

“Oleh itu tidak timbul, sama ada sebat enam kali itu adalah lebih baik daripada denda dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta mana-mana pihak tidak membandingkan antara hukuman sebat mahkamah syariah dan sivil kerana melibatkan kesalahan yang berbeza.

“Tak mungkin kesalahan rogol, mencuri dan merompak di bawah Mahkamah Sivil, kita nak sebat (ringan) seperti di Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya mengalu-alukan segala usaha untuk membendung lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kerana perbuatan itu terkeluar daripada fitrah manusia selagi tidak menyalahi kewarasan insan dan agama.

Dua wanita itu dihukum sebat enam kali hari ini kerana cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, 1.50 tengah hari pada 8 April lalu.

Selain itu, kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat. - UTUSAN ONLINE