Video oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan menggalakkan mereka mendaftar dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertindak selaku koordinator bagi menyusun jadual dan giliran berkhidmat di hospital medan.

Katanya, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina telah memberikan kelulusan kepada kerajaan Malaysia khasnya Kor Perubatan Diraja ATM dan Kementerian Kesihatan untuk membina hospital medan yang dilengkapi 50 buah katil dan 35 anggota perubatan pada satu-satu masa.

“Kita sedang menunggu prosedur yang ditentukan oleh kerajaan Bangladesh untuk membenarkan pembinaan hospital itu.

“Insya-Allah dalam tempoh sebulan, hospital medan itu akan beroperasi sepenuhnya, pihak Kementerian Kesihatan juga bersama-sama untuk membantu dari segi kepakaran doktor-doktor, ju­rurawat serta pembantu perubatan yang akan berada di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia dan Bangladesh sewaktu melawat Kem Pelarian Kutupalong hari ini.

Dalam kunjungan lebih sejam itu, Ahmad Zahid diiringi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ric­hard Riot Jaem dan Ketua Pengarah MKN, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, dalam kunjungannya, be­liau turut membawa bantuan wang tunai sebanyak RM420,000 yang disumbangkan oleh seorang dermawan untuk disalurkan kepada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) besar dari Malaysia yang kini aktif membantu pelarian Rohingya.

Dengan cara itu katanya, NGO terbabit boleh melakukan koordinasi untuk membeli barangan keperluan pelarian Rohingya.

“Hal ini kerana dari segi makanan saya tengok World Food Program Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) telah ada, dari segi perubatan ada Internatioal Organi­zation for Migration (IOM).

“Malaysia antara negara terawal menghantar bantuan untuk pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, khususnya di Kem Kutupalong dan kita telah menghantar sekurang-kurangnya tiga kali ban­tuan makanan dan keperluan yang lain,” katanya.

Ditanya mengenai langkah-langkah jangka panjang Malaysia untuk membantu menangani krisis kemanusiaan etnik Rohingya, Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Bangladesh, Abul Hassan Mahmod Ali di Dhaka, semalam.

“Ini bagi membantu Malaysia, Bangladesh, negara-negara lain dan organisasi antarabangsa memuktamadkan masalah ber­kenaan,” katanya. – UTUSAN