Titah baginda, anggota bomba saban masa berhadapan pelbagai bahaya dan terpaksa mengharungi pelbagai dugaan ketika melaksa­nakan tugas dan menggalas tanggungjawab mereka.

Baginda bertitah, menghargai dan menghormati perkhidmatan ahli bomba tidak memadai sekadar menganugerahkan medal, sijil dan cenderamata malah tidak mencukupi dengan ucapan dan surat pujian.

“Menghargai dan menghormati khidmat anggota bomba hendak­nya tidak terbatas kepada program-program berbentuk perbarisan, pameran, persembahan budaya atau jamuan.

“Sambutan Hari Anggota Bom­ba akan lebih bermakna jika diisi dengan acara-acara berunsur ilmu, berupaya meningkatkan penghayatan masyarakat dan apresiasi negara.


Video oleh SYEFRY MONIZ MOHD. NIZAR

“Acara seperti ini juga harus dilengkapi dengan program yang dapat memberikan impak bermakna, berupaya membawa perubahan substantif kepada perkhidmatan yang memberikan manfaat jangka panjang kepada anggota bomba,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Yang turut berangkat Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Wan Ibrahim.

Sultan Nazrin juga menggaris­kan lima perkara yang perlu di­lak­sana­kan sebagai menghargai peranan anggota bomba iaitu merekayasa program latihan dan tatacara operasi yang dapat me­ningkatkan tahap profesional anggota.

Titah baginda, perkara kedua ialah mengenal pasti peralatan terkini yang diperlukan dalam menghadapi cabaran senario semasa untuk membolehkan perkhidmatan lebih berkesan dapat diberikan.

Baginda bertitah, perkara ketiga ialah menilai prosedur operasi dan kelengkapan yang perlu dibekalkan untuk meminimumkan risiko anggota ketika menjalankan tugas.

“Keempat, merangka pakej perkhidmatan dan program kebajikan anggota bukan saja ketika berkhidmat tetapi lebih penting pada usia tua persaraan, setimpal tahap pengorbanan, beban tanggungjawab dan risiko dihadapi anggota.

“Kelima, meningkatkan kese­daran negara dan masyarakat terhadap pengorbanan bomba supaya negara dan masyarakat menghargai ahli bomba ketika dalam perkhidmatan dan selepas bersara,” titah baginda.