Penganjuran perhimpunan itu juga bertitik tolak pada kekhuatiran kesan krisis yang berlaku di negara itu akan menjejaskan ke­selamatan dan kedudukan Malaysia sebagai negara jiran ASEAN sekiranya tidak ditangani segera.

Pada masa sama, Kementerian Luar berkata, adalah menjadi tanggungjawab Malaysia untuk memastikan ‘rakan ASEAN’ (Myan­mar) mengambil langkah-langkah proaktif dalam usaha menangani krisis itu daripada terus bertambah buruk.

Malah, kata kementerian itu, sejumlah besar pelarian Rohingya yang berada di Malaysia iaitu kira-kira 56,000 orang di bawah nau­ngan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) bersama ribuan golongan itu yang berada di negara-negara jiran, tidak menjadikan perkara itu sebagai masalah dalaman Myanmar sebaliknya dilihat sebagai isu antarabangsa.

“Malaysia juga mengetahui prinsip-prinsip penubuhan A­SEAN selain menjadi ahli pe­ngasas organisasi serantau itu. Pada tahun 2008, kesemua 10 negara anggotanya menerima pakai piagam ASEAN, yang mengikat ahlinya kepada dasar antarabangsa mengenai perlindungan dan mengga­lakkan hak asasi manusia.

“Malah, semua anggota gagasan serantau itu turut bersetuju untuk bertindak dengan efektif selaras dengan dasar keselamatan yang menyeluruh terhadap ancaman yang wujud akibat isu Ro­hingya terhadap keselamatan Malaysia sendiri,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Kementerian Luar itu susulan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay menerusi laporan akhbar Myanmar Times yang meminta Malaysia menghormati dasar ASEAN dan tidak mencampuri tangan dalam urusan dalaman negara lain.

Dalam pada itu, Malaysia juga menggesa Myanmar segera menghentikan tindakan pembersihan etnik ke atas penduduk Rohingya demi keselamatan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.

“Malaysia tidak perlu mengingatkan U Zaw Htay berhubung krisis pelarian etnik Rohingya yang terkandas di laut pada tahun lalu yang seterusnya menjadi isu serantau yang mana negara-negara jirannya menanggung bebannya.

“Hanya atas kesedaran ini, Malaysia berulang kali menawarkan bantuan kepada Myanmar untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengakhiri penindasan yang berlaku pada masyarakat tersebut. Malah, ini selaras dengan pendirian Malaysia bahawa ia bukan melibatkan soal agama tetapi dari sudut pandangan kemanusiaan serta merta,” kata kementerian itu lagi.

Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya yang akan berlangsung di Stadium Titawangsa di sini esok akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menyatakan bantahan rakyat terhadap kezaliman dan penindasan ke atas etnik Islam oleh tentera Myanmar.