Sakaran, 87, merupakan bekas Yang Dipertua Sabah me­nerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini hari ini.

Hadiah berupa wang tunai berjumlah RM100,000, pingat dan sijil penghargaan itu adalah sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).



Anak kelahiran Kampung Air, Semporna, Sabah itu ber­kata, perpaduan dalam kala­ngan masyarakat berbilang kaum merupakan kunci utama untuk membangunkan negara.

‘‘Saya yakin usaha kerajaan dalam memperkukuhkan perpaduan masyarakat majmuk negara ini merupakan langkah yang dinamik buktinya Malaysia telah berjaya menonjol dalam kalangan negara Islam yang demokrasi dan berdaya saing.

“Menjadi harapan saya supaya semua rakyat Malaysia terus bermuafakat tanpa me­ngira pangkat, suku kaum dan agama agar negara terus maju serta rakyat dapat hidup aman bahagia,” katanya.

Sakaran yang dilahirkan pada 15 April 1930 dalam keluarga keturunan Bajau dan mempunyai 12 anak telah dilantik menjadi Yang Dipertua Sabah selama dua penggal dari 1 Januari 1995 hingga 31 Disember 2002.

Sebelum bersara daripada perkhidmatan awam pada 1967, beliau antara yang terlibat dalam pembukaan Rancangan Pulau Semporna, Mentaritip Pegagau dan beberapa daerah lain di Sabah yang kini menjadi destinasi pelanco­ngan bertaraf dunia.

Di samping itu, Sakaran juga pernah menyandang jawatan penting dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia), selain bertanggungjawab dalam menubuhkan Yayasan Tun Sakaran Dandai (Sabdi) bagi meningkatkan taraf hidup sosioekonomi, pendidikan dan kesusasteraan Islam di Semporna, Sabah.