Lima murid berkenaan ialah dua murid tahun enam iaitu Ahmad Nur Syarwani Ahmad Kamal dan Nurul Hana Shafahani Murad; dua murid tahun dua iaitu Dhiya Sofia Muhamad Ridzuan dan Mohamad Adam Danis Hafiz Nizam serta seorang murid tahun tiga, Muhamad Farez Daniel Murad.

Daripada kesemua murid ber­kenaan, hanya Mohamad Adam merupakan murid baharu yang mendaftar masuk ke sekolah berkenaan tahun ini.

SK Tebing Rebak mempunyai lima guru iaitu tiga guru perempuan termasuk guru besar dan dua guru lelaki.



Sekolah itu sudah lama meng­alami masalah kekurangan murid, malah tahun lalu hanya empat murid yang belajar di­sebabkan jumlah penduduk yang sedikit kerana ramai yang berhijrah mencari pekerjaan di tempat lain.

Guru Besar SK Tebing Rebak, Siti Norhasidah Mohd. Yusof berkata, tahun ini tiada murid tahun satu yang mendaftar dan walaupun kurang murid beliau dan guru-guru yang lain tetap menjalankan tanggungjawab me­ngajar serta menjalankan aktiviti seperti sukan tahunan.

“Sekolah ini mempunyai kemudahan komputer dan internet serta perpustakaan, namun sejak tahun 2000, kantin ditutup ke­rana kurang murid menyebabkan murid membawa bekal makanan dari rumah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, sebelum ini SK Tebing Rebak mempunyai 200 murid, namun jumlahnya semakin berkurang disebabkan pembinaan sekolah baharu seperti SK Tanah Lalang dan SK Sungai Dulang Dalam serta penduduk yang berpindah.

“Kekurangan murid di sekolah ini semakin ketara sejak 1995 iaitu daripada 45 orang kepada 10 murid dan sejak 2001 bilangan murid hanya lima orang,” katanya.

Sementara itu Mohamad Adam Danis berkata, dia tetap seronok dapat bersekolah walaupun tidak ramai murid seperti di sekolah lain.

“Memandangkan tidak ramai murid, saya berharap dapat me­numpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran,” katanya.