Video oleh NUR NAZLINA NADZARI

Daun ketum tersebut kemudiannya dibawa anggota sindiket ke sebuah rumah di Taman Setapak yang digunakan sebagai makmal untuk diproses menjadi air ketum dan sete­rusnya diedar kepada ejen mereka pada harga RM10 seliter.

Itu modus operandi sindiket yang dikenali sebagai Ayah Non untuk mengaut untung sehingga RM80,000 sebulan hasil penjualan air ketum.

Walau bagaimanapun, ke­giatan sindiket itu yang berjalan selama tiga bulan tersebut tumpas apabila empat anggota sindiket berumur antara 21 hingga 56 tahun termasuk dalang dikenali sebagai Ayah Non, 56, yang mempunyai enam rekod termasuk jenayah curi dan dadah ditangkap di rumah itu dalam operasi pada Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, operasi pada pukul 3.45 petang itu turut merampas 96 bungkus plastik daun ketum dengan berat 96 kilogram, 217 bungkus plastik disyaki air ketum dan satu besen besar berwarna merah berisi daun ketum de­ngan anggaran nilai sebanyak RM6,376.

“Kami dapati modus ope­randi mereka adalah mengisi daun ketum dalam tiga beg de­ngan berat antara 50 hingga 60 kilogram setiap kali penghantaran ke Kuala Lumpur dari uta­ra menggunakan bas ekspres. Setiap penghantaran boleh menghasilkan air ketum bernilai RM6,000 hingga RM9,000 dan setiap minggu dua penghantaran akan dibuat.

“Jadi, kami ingin menasihatkan kepada pengusaha bas ekspres untuk berhati-hati dan jangan sampai terlibat sama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambah Mazlan, suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari sehingga 7 Janua­ri dan kes disiasat di bawah Sek­syen 30 (3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman de­ngan maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, pihaknya juga menyiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana dua daripada yang ditahan didapati positif syabu.

Sementara itu, Mazlan memberitahu, indeks jenayah di Kuala Lumpur pada 2017 turun sebanyak 20.67 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi jenayah jalanan seperti samun dan ragut pula kita berjaya menurunkan kepada 25.67 peratus. Ini akan memberikan kesejahteraan kepada orang ramai yang berkunjung dan tinggal di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Tambah Mazlan, sebanyak 74 serbuan di pusat hiburan bagi kes narkotik dibuat pada tahun lalu melibatkan 3,979 pemeriksaan dan 1,236 tangkapan iaitu 777 lelaki dan 459 perempuan serta RM82,117 nilai rampasan.